Kerajaan menggalakkan para pengusaha dusun durian menjadikan raja buah itu sebagai produk agropelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, selain untuk dieksport ke negara-negara penggemar durian seperti China dan Singapura, durian mampu menjadi produk agropelancongan bagi membolehkan pelancong menikmati keenakan durian dalam suasana yang lebih semulajadi dan menarik.

“Maka langkah yang diambil oleh Hotel Bangi–Putrajaya, yang mempunyai dusun durian mereka sendiri seluas empat hektar, terdiri daripada hampir 30 pelbagai jenis durian adalah sangat dipuji bagi membolehkan para tetamu hotel tidak sahaja berpeluang melawat dusun malah menikmati durian itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival dan Anugerah Durian 2018 anjuran Hotel Putrajaya-Bangi Golf Resort di Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Sabki Yusof.

Yang turut hadir, Pengarah Hotel Bangi-Putrajaya & Bangi Golf Resort, Soh Chung-Ky, Pengerusi Festival Durian dan Anugerah Durian 2018 Tan Ban Keat dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohammad Roff Mohd. Noor.

Ahmad Sabki turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Hotel Bangi-Putrajaya dengan MARDI dan Syarikat REDtone bagi menjalinkan kerjasama berkaitan holtikutur, mekanisme dan automasi, teknologi kompos, teknologi makanan dan pemprosesan, pengurusan lebihan dan sisa makanan serta agro pelancongan.

 

Source: Utusan Online